"" Gedung Purba: Kos Sara Hidup Dan Cara Penyelesaiaannya
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Rabu, 27 April 2016

Kos Sara Hidup Dan Cara Penyelesaiaannya


Gaji dan Kos Sara Hidup
INI adalah satu perkongsian idea dengan anda semua iaitu bagaimana cara untuk memaksimakan kecekapan pengurusan kewangan peribadi.
Perkara ini penting memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan nilai wang yang kita ada semakin menyusut.
Ini dikusutkan lagi dengan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan dengan setiap pendapatan yang diperolehi kepada keluarga, masyarakat dan diri sendiri.
Duit Untuk Ibu Bapa
Pemberian wang kepada ibubapa adalah sangat penting bagi setiap daripada kita, sebagai tanda penghargaan anak kepada ibubapa mereka, disamping membantu mereka menampung kos kehidupan yang semakin mahal dari tahun ke tahun. Kaya atau tidak ibu bapa kita bukan menjadi soal kerana dengan memberi duit sara hidup akan membuat mereka gembira dan bersyukur dengan sikap anak yang sentiasa ingatkan mereka.
Tetapi jangan anda menghadkan pemberian wang itu dengan hanya sekadar. nampak duit sara hidup bulanan ini sahaja. Lebih bijak jika anda memberikan perlindungan insurans perubatan sekirannya keadaan kesihatan mereka masih mengizinkan, agar kebajikan mereka di hari tua, lebih terjaga.
Kita semua sedar bahawa semakin lama kos rawatan hospital semakin mahal.
Untuk masuk ke hospital kerajaan, hanya kes yang kritikal sahaja akan diterima masuk kerana fasiliti menjadi tumpuan terlalu ramai orang. Mahu tidak mahu hospital swasta menjadi alternatif agar ibu bapa mendapat perhatian dan rawatan yang sewajarnya.
Simpan Masa Depan
Menangani peningkatan kos sara hidup tidak seharusnya dilakukan untuk keadaan semasa semata-mata. Kita tidak akan dapat meramalkan apa yang akan berlaku di masa hadapan, oleh itu, untuk memenuhi keperluan masa depan seperti persaraan atau pendidikan universiti anak, kita perlu membuat simpanan mulai sekarang, dan bukannya bertangguh sehingga tiba masa memerlukannya.
Oleh kerana setiap individu itu berbeza, keperluan dan keadaan kewangan masing-masing juga berbeza.
Anda tidak boleh samakan seorang yang hidup di bandar dan sorang di kampung, walaupun mereka memperoleh pendapatan yang hampir sama nilai setiap bulan dan pastinya juga pola perbelanjaan masing-masing juga tidak sama. Oleh itu, kami ingin menasihati anda uruslah kewangan mengikut keadaan semasa diri sendiri dan bukannya orang lain.
Buat Duit Dengan Hutang?
Ramai daripada kita tersalah anggap berhutang untuk menjana pendapatan dengan menyertai skim amanah saham adalah langkah bijak kerana menyimpan dengan cara berhutang ini,
Gambar Hiasan
lebih baik sebab kita boleh bayar sedikit demi sedikit setiap bulan.
Tetapi ramai juga antara kita yang terlupa, apabila membuat pinjaman sedemikian, kita masih perlu bayar faedah kepada bank setiap bulan. Ingatkan boleh buat duit tanpa rupa-rupanya bank yang buat duit.
Cuba amalkan menyimpan
dulu sebelum berbelanja pastinya simpanan akan terhasil. Kalau kurang berdisiplin, buat potongan gaji atau autodebit. Carumkan ke dalam amanah saham seperti ASB agar dapat pulangan yang setimpal.
Sumber: Utusan Malaysia/Iklan/Selasa/26 April 2016

Atasi Peningkatan Kos Sara Hidup Dari Rumah
TATACARA dalam kehidupan sebelum dan sesudah berumah tangga, soal kewangan sememangnya akan sentiasa berlegar-legar di minda kita. Namun, walaupun begitu, masih ramai lagi yang gagal dalam aspek pengurusan kewangan rumah tangga.
Ingin dikongsi sedikit panduan agar anda lebih faham akan kepentingan untuk mengutamakan keperluan berbanding kehendak agar hidup berkeluarga anda tidak terjejas dengan soal kewangan di zaman kos sara.hidup yang semakin meningkat dewasa ini.
Pendapatan tetap dan tambahan
Dewasa ini, ramai isteri yang dilihat keluar bekerja demi membantu suami meringkan bebanan kewangan keluarga. Tidak dinafikan, harga barang pada masa kini amat berbeza berbanding dahulu.
Selain kos hidup yang semakin meningkat, suami juga perlu memikirkan tentang pendapatan tambahan untuk menyara kos sara hidup dengan mempelajari selok belok perniagaan dan memasarkannya di internet yang dianggap lumayan.
Agihan duit pendapatan
Sekiranya kita sudah menerima duit gaji daripada majikan, sila segera mengagihkan duit tersebut untuk bayaran-bayaran tertentu. Jangan sesekali kita gunakan duit selagi kita belum memperuntukan bayaran seperti ansuran rumah, bil utiliti, ansuran kereta dan sebagainya.
Jika tidak, kita akan merasa terbeban untuk membayar di kemudian hari.
Berjimat dalam berbelanja
Untuk berjimat dalam berbelanja, elok jika anda merancang dalam soal pembelian barangan baik di pasar biasa mahupun di pasar raya. Ini boleh dilakukan dengan menyenaraikan terlebih dahulu senarai barang yang mahu dibeli.
Dengan cara ini, kita dapat mengatasi masalah terlebih berbelanja. Tambahan pula, dengan adanya senarai barang ini, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan nafsu kita daripada membeli barang yang tidak perlu.
Selain itu, kita juga boleh melakukan perbandingan harga di beberapa buah pasar raya. Biarpun terdapat perbezaan
harga RM1 atau RM2 bagi setiap barang, itu sudah cukup memberikan banyak penjimatan. Bayangkan jika kita dapat berjimat, lebihan wang tadi boleh disimpan.
Menabung
Simpanan seperti pelaburan seperti emas mahupun hartanah sememangnya memberikan pulangan yang lumayan pada masa akan datang. Namun begitu, menabung juga boleh dimulakan pada skala kecil.
Sama ada RM100, RM200 sebulan itu sudah memadai bergantung kepada pendapatan sesebuah keluarga itu. Amalan menabung ini sedikit sebanyak dapat membantu kita sekiranya berlaku sesuatu kecemasan di kemudian hari.
Sumber: Utusan Malaysia/Iklan/Khamis/14 April 2016

Kos Sara Hidup Tinggi – Kad kredit Bukan Penyelesaiaannya
Tahukah anda bahawa jumlah individu muflis kerana hutang kad kredit pada tahun lalu ialah 1,873 orang yang mana jum;lah hutang kad kredit tertunggak ini mencecah RM21.6 bilion sehingga September tahun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak RM591 juta adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).
Dewasa ini, penggunaan kad kredit di kalangan golongan muda kini bagaikan satu kemestian bagi menunjukkan status dan gaya hidup moden tanpa menyedari mereka bakal menjadi ‘hamba’ hutang seumur hidup.
Sedar atau tidak, keadaan itu berlaku gara-gara golongan ini gagal menguruskan penggunaannya dengan baik dan berhemah. Ambil sahaja contoh penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak penstrukturan semula subsidi minyak diumumkan tahun lepas.
Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus, berbanding sebelum ini hanya 80 peratus. Kebanyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.
Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus. Pembelian petrol menggunakan kad kredit pula meningkat kepada 75 peratus daripada 55 peratus.
Malah, laporan menyebut penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus. Diakui, ramai rakyat beralih kepada penggunaan kad kredit sama ada kerana kekurangan tunai berikutan kenaikan kos sara hidup atau cuba berjimat menggunakan wang tunai.
Pengguna lebih selesa lebih selesa menggunakan kad kredit di stesen minyak kerana mereka boleh terus mengisi minyak tanpa perlu ke kaunter yang kadang-kadang terpaksa beratur, terutama apabila ramai pelanggan.
Seperti juga pasar raya atau premis perniagaan lain, pengusaha stesen minyak turut membayar komisen sekurang-kurangnya satu peratus kepada bank apabila pelanggan menggunakan kad kredit.
Dalam keghairahan menggunakan kad kredit, ramai pula yang tidak sedar kadar faedah yang dikenakan 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun iaitu satu jumlah cukup tinggi. Caj akan dikenakan jika individu mengeluarkan wang tunai menggunakan kad kredit di ATM.
Apabila masalah hutang sudah kronik timbul gejala sosial lain seperti keruntuhan rumah tangga, anak terbiar, pelajaran terabai dan pelbagai masalah lain.
Satu program pendidikan dan kesedaran mengenai kaedah menguruskan kewangan perlu diperkenalkan bagi mengelak rakyat, terutama generasi muda boros berbelanja. Ini kerana kelulusan mudah bagi permohonan kad kredit dan pinjaman juga banyak mendorong gaya berbelanja di luar kemampuan yang akhirnya menyebabkan kesukaran menguruskan kewangan peribadi.
Usahlah terjebak dalam terjebak dalam hutang kad kredit, Eloklah kita ikuti pepatah Melayu iaitu ‘ukur baju di badan sendiri’ dengan berbelanja mengikut kemampuan sendiri dan bukan melebihi pendapatan.
Sumber: Utusan Malaysia/Iklan/Khamis/21 April 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan