"" Gedung Purba: Terkini
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Khamis, 21 April 2016

Terkini

H&M dan David Beckham

Jenama H&M Kini Di Kedah
Jenama fesyen H&M meluaskan cawangan ke utara tanah air sejak bulan lalu. Butik pertamanya yang dibuka di Aman Sentral, Kedah itu menawarkan pelbagai pilihan.
Pengurus H&M Negara di Asia Tenggara, Freddik Fam, berkata pihaknya peka dengan keperluan peminat fesyen di kawasan itu dan membuat keputusan untuk membuka rangkaian cawangan khas untuk peminat H&M. “Kami amat gembira mena­warkan barangan fesyen berkualiti pada harga terbaik. Keputusan membuka cawangan ini sangat bertepatan kerana peminat kami di Kedah sudah menunggu kedatangan H&M,” katanya. Jelasnya, penerimaan menggalakkan daripada pembeli di negara ini menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan luar biasa di Asia Tenggara.
Tawar fesyen terkini
Menerusi pembukaan kedai ke-18 dalam tempoh tiga tahun ini, H&M terus bekerja secara proaktif dan bertanggungjawab terhadap sosial, sekali gus beroperasi dengan mapan serta menguntungkan. Butik itu menawarkan fesyen terkini untuk lelaki, wanita, remaja dan kanak-kanak. Fe­syen pada musim ini menghimpunkan rekaan cetakan pada baju dan gaun, manakala bagi penggemar fesyen pakaian kait, koleksi itu turut disediakan.
Bagi lelaki pula, keluaran koleksi baharu H&M menampilkan fesyen yang digayakan David Beckham.
Sumber: Berita Harian / Famili / 4 November 2015

Pakaian Celoreng 'Ala Tentera'
Kuat kuasa undang-undang tingkatkan kesedaran
Orang ramai menyalahgunakan pakaian celoreng ala tentera’ sebagai satu fesyen.
Pemakaian seragam pasukan keselamatan terutama fabrik celoreng Angkatan Ten­tera Malaysia (ATM) dalam kalangan orang awam menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini.
Tidak ramai mengambil peduli selama ini mengenai peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9 Akta Rahsia Rasmi yang jelas mencegah mana-mana pihak daripada menyalahgunakan pakaian celoreng atau mana-mana pakaian yang membawa tanda menyamai pakaian seorang ten­tera.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, berkata ATM komited menguatkuasakan undang-undang berkaitan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa celoreng digital adalah hak eksklusif pasukan ATM.
Menurutnya, kain celoreng di­gital ATM sudah dipatenkan pembekal untuk menjaga hak eks­klusif milik ATM.
Beliau juga mengesahkan ATM akan bekerjasama dengan polis untuk menangani isu ini.
Sebagai bekas pegawai awam di ' Kementerian Pertahanan, saya berpendapat langkah ini wajar dilaksanakan ATM demi menjaga imej pasukan keselamatan negara yang disegani seluruh dunia. Memang pakaian ini menarik kepada lelaki kerana pemakainya kelihatan segak dan lawa ketika memakainya. Lelaki atau wanita pula memang kelihatan cantik serta bergaya apabila memakai seluar dengan baju-T berwarna garang.
Tertarik corak celoreng
Mereka yang memakainya mungkin tidak berniat menyamar menjadi anggota tentera, sebaliknya tertarik dengan warna dan corak celoreng itu. Bagaimanapun, me­reka mesti berwaspada kerana ada pihak boleh mengambil kesempatan melakukan jenayah ke­tika memakainya. Penjenayah mungkin berpura-pura melaku­kan pemeriksaan keselamatan terhadap orang awam tetapi akhirnya melakukan ugutan jena­yah dengan menyamar sebagai anggota keselamatan.
Pemakai celorengnya mungkin menyamar menjadi anggota ten­tera tetapi akhirnya turut men­jadi perompak merbahaya. Sehubungan itu, sebagai rakyat Ma­laysia yang cintakan keamanan marilah kita bersama menyokong usaha ATM menguatkuasakan undang-undangnya bagi mencegah orang ramai menyalahgunakan hak eksklusif pasukan ke­selamatan ini.
Berikan hak kepada tentera
Berilah hak kepada anggota ten­tera yang layak memakainya se­bagai lambang keperwiraan dan kepahlawanan pasukan kesela­matan menjaga keamanan serta ketenteraman awam.
Kita berbangga melihat anggo­ta keselamatan memakai pakaian kemas, segak dan bergaya tetapi dalam masa yang sama berkorban untuk kebahagiaan rakyat di negara ini. Mereka sentiasa ber- jaga sewaktu kita sedang tidur dan jaga.

Sumber: Berita Harian / Nasional / 2 Januari 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan